31 January, 2008

Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring

PASTI Kawasan Tambun akan mengadakan Pesta Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring Mini pada 2 Mac ini yang akan berlansung di padang bola sepak Lintau. Temasya sukan ini akan disertai oleh 12 unit pasti yang terdapat di kawasan Tambun yang mana johan dari setiap kategori akan mewakili PASTI Tambun dalan Kejohanan Pesta Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI peringkat negeri Perak nanti. Persiapan program tersebut sedang giat dijalankan.

Terkini :
Tambun - 2 Mac 2008. PASTI Kawasan Tambun telah mengadakan pertandingan bola sepak dan bola jaring mini khusus untuk pelajar-pelajar PASTI. Tujuan pertandingan diadakan adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat melalui sukan. Pertandingan yang diadakan di padang awam Taman Meru 1A telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari unit-unit PASTI di dalam Kawasan Tambun. Sebanyak 8 pasukan telah mengambil bahagian yang terdiri dari PASTI Nurul Iman (Kg. Tengku Hussein), PASTI Amal Islami ( Kg. Manjoi), PASTI Al- Harakiah (Kg. Dato' Ahmad Said 2), PASTI Nurul Islam (Taman Meru), PASTI Al- Muhajirin (Bandar Baru Putra), PASTI Al-Muttaqin (Tg. Rambutan), PASTI Al-Ansar ( Taman Perpaduan) dan PASTI Al-Ukhwah (Taman Hiburan).

Setiap Unit telah menghantar pasukan bola sepak dan bola jaring masing-masing yang telah dipilih dikalangan pelajar 5 tahun dan 6 tahun. Sepanjang pertandingan ini dijalankan, penyokong pasukan masing-masing telah dipertontonkan dengan perlawanan yang menghiburkan. Para pemain yang telah dilatih dengan tekun oleh guru-guru PASTI telah mempamerkan semangat juang yang tinggi. Kehadiran ibu bapa yang turut memberi sokongan dan menaikkan semangat pemain.

Perlawanan yang dijalankan secara liga ini telah dirasmikan oleh Al Fadzil Ustaz Zulkurnain bin Ibrahim, calon PAS yang bertanding di dalam Dewan Undangan Negeri Manjoi. Dalam ucapan perasmian itu beliau menegaskan akan peri pentingnya sukan. Ujar beliau, "Baginda Rasulullah S.A.W. amat menggalakkan umat baginda untuk bersukan seperti berkuda , memanah dan berenang kerana ini akan melahirkan generasi yang sihat dan kuat fizikal dan mental seperti yang dituntut oleh Islam". Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana telah menjaga tata susila pertandingan dengan mengsyaratkan semua pemain menutup aurat. Ini membuktikan bahawa tuntutan menutup aurat itu sebenarnya tidak menghalang individu untuk bersukan. Beliau sendiri menurutnya sering berjogging untuk sentiasa aktif dan sihat. Perasmian telah dilaksanakan dengan Al Fadzil Ustaz membuat sepakan bola ke arah pintu gol dengan disaksikan oleh para hadirin.

Pertandingan bola sepak mini telah dimenangi oleh PASTI Al- Muhajirin dan tempat kedua oleh PASTI Nurul Islam. Sementara itu bagi kategori bola jaring pula telah dimenangi oleh PASTI Nurul Iman dan tempat kedua oleh PASTI Al Muhajirin. Kesemua pemenangan pertandingan ini akan mewakili PASTI Kawasan Tambun ke pertandingan peringkat PASTI negeri Perak yang akan diadakan pada bulan Jun nanti di Seri Manjong.