31 January, 2008

Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring

PASTI Kawasan Tambun akan mengadakan Pesta Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring Mini pada 2 Mac ini yang akan berlansung di padang bola sepak Lintau. Temasya sukan ini akan disertai oleh 12 unit pasti yang terdapat di kawasan Tambun yang mana johan dari setiap kategori akan mewakili PASTI Tambun dalan Kejohanan Pesta Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI peringkat negeri Perak nanti. Persiapan program tersebut sedang giat dijalankan.

Terkini :
Tambun - 2 Mac 2008. PASTI Kawasan Tambun telah mengadakan pertandingan bola sepak dan bola jaring mini khusus untuk pelajar-pelajar PASTI. Tujuan pertandingan diadakan adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat melalui sukan. Pertandingan yang diadakan di padang awam Taman Meru 1A telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari unit-unit PASTI di dalam Kawasan Tambun. Sebanyak 8 pasukan telah mengambil bahagian yang terdiri dari PASTI Nurul Iman (Kg. Tengku Hussein), PASTI Amal Islami ( Kg. Manjoi), PASTI Al- Harakiah (Kg. Dato' Ahmad Said 2), PASTI Nurul Islam (Taman Meru), PASTI Al- Muhajirin (Bandar Baru Putra), PASTI Al-Muttaqin (Tg. Rambutan), PASTI Al-Ansar ( Taman Perpaduan) dan PASTI Al-Ukhwah (Taman Hiburan).

Setiap Unit telah menghantar pasukan bola sepak dan bola jaring masing-masing yang telah dipilih dikalangan pelajar 5 tahun dan 6 tahun. Sepanjang pertandingan ini dijalankan, penyokong pasukan masing-masing telah dipertontonkan dengan perlawanan yang menghiburkan. Para pemain yang telah dilatih dengan tekun oleh guru-guru PASTI telah mempamerkan semangat juang yang tinggi. Kehadiran ibu bapa yang turut memberi sokongan dan menaikkan semangat pemain.

Perlawanan yang dijalankan secara liga ini telah dirasmikan oleh Al Fadzil Ustaz Zulkurnain bin Ibrahim, calon PAS yang bertanding di dalam Dewan Undangan Negeri Manjoi. Dalam ucapan perasmian itu beliau menegaskan akan peri pentingnya sukan. Ujar beliau, "Baginda Rasulullah S.A.W. amat menggalakkan umat baginda untuk bersukan seperti berkuda , memanah dan berenang kerana ini akan melahirkan generasi yang sihat dan kuat fizikal dan mental seperti yang dituntut oleh Islam". Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana telah menjaga tata susila pertandingan dengan mengsyaratkan semua pemain menutup aurat. Ini membuktikan bahawa tuntutan menutup aurat itu sebenarnya tidak menghalang individu untuk bersukan. Beliau sendiri menurutnya sering berjogging untuk sentiasa aktif dan sihat. Perasmian telah dilaksanakan dengan Al Fadzil Ustaz membuat sepakan bola ke arah pintu gol dengan disaksikan oleh para hadirin.

Pertandingan bola sepak mini telah dimenangi oleh PASTI Al- Muhajirin dan tempat kedua oleh PASTI Nurul Islam. Sementara itu bagi kategori bola jaring pula telah dimenangi oleh PASTI Nurul Iman dan tempat kedua oleh PASTI Al Muhajirin. Kesemua pemenangan pertandingan ini akan mewakili PASTI Kawasan Tambun ke pertandingan peringkat PASTI negeri Perak yang akan diadakan pada bulan Jun nanti di Seri Manjong.

19 January, 2008

PAS Tambun anjur Malam Jasa Dikenang, Kejayaan Dirai

IPOH, 19 Dis (Hrkh) - PAS Kawasan Tambun akan mengadakan jamuan malam malam sekaligus memberikan anugerah dan pengiktirafan kepada cawangan teraktif dalam satu majlis yang dinamakan Jasa Dikenang, Kejayaan Dirai pada 27 Disember ini.

Majlis tersebut akan diadakan di bandaraya Ipoh.

Menurut Setiausahanya, Ahmad Khair Faizal, majlis yang bakal diadakan nanti merupakan majlis kali kedua yang dianjurkan oleh PAS kawasan bagi mengiktiraf cawangan terbaik, keluarga PAS terbaik serta anugerah khas pendidikan.

"Seperti majlis yang pertama dahulu, PAS kawasan juga akan menyampaikan pengiktirafan kepada bekas-bekas calon PAS yang bertanding pada pilihanraya umum ke 11 yang lalu," ujar beliau.

Malam Jasa Dikenang, Kejayaan Dirai yang akan diadakan nanti turut memberikan pengiktirafan dan anugerah kepada Unit Amal Tambun serta guru PASTI terbaik bagi kawasan Tambun.

"Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang dijadualkan akan merasmikan program tersebut serta menyampaikan anugerah kepada mereka yang terpilih," katanya.

PAS Kawasan Tambun turut juga menjemput beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) khususnya yang berada di Ipoh serta wakil-wakil masjid-masjid dan surau-surau yang disenaraikan oleh PAS kawasan, katanya lagi.- mr

14 January, 2008

Buku Insya Allah PASTIku Boleh

IPOH - Kebolehan untuk membaca di usia awal adalah antara harapan ibu bapa terhadap anaknya. Demi mencapai objektif tersebut, PASTI Negeri Perak telah memperkenalkan satu buku khas yang dinamakan Buku Insya Allah PASTIku Boleh yang telah dikarang oleh Ahmad Jabar Kholidi selaku ketua Unit Kurikulum PASTI Perak.

Buku Insya Allah PASTIku Boleh ini pada dasarnya digunakan untuk mengajar murid-murid PASTI yang berumur 5 tahun agar boleh membaca dan buku ia telah diperkenal dan diguna pakai seawal tahun 2006. Guru-guru PASTI seluruh negeri Perak telah diberi kursus khas bagaimana untuk menggunakan buku tersebut dengan cara yang betul agar memberi impak yang besar kepada murid-murid. Hasilnya hampir 75% murid-murid PASTI 5 tahun boleh membaca.

Buku ini bukan sahaja telah digunakan di negeri Perak, malah PASTI Kedah juga turut berminat dan menggunakannya pada tahun 2007. Kursus yang sama juga didedahkan kepada guru-guru PASTI Kedah yang terlibat.

Edaran Buku

14 Januari 2008 : TAMBUN - Buku teks serta lain-lain perbekalan akan diedarkan kepada murid-murid PASTI mulai hari ini kecuali buku teks untuk murid-murid 5 tahun yang dijangkakan akan mendapat buku teks edisi baru pada awal bulan Mac nanti. Kelewatan edaran buku teks 5 tahun telah dimaklumkan kepada semua ibu bapa semasa hari pendaftaran persekolahan PASTI.

Dalam jangka masa menunggu buku teks 5 tahun ini, murid-murid akan diajar satu modul khas yang direka oleh PASTI Pusat yang dinamakan Program Transisi.

09 January, 2008

Doa Akhir Tahun Dan Awal Tahun Hijrah

DOA AKHIR TAHUN HIJRAH
Maknanya :
Segala puji hanya bagi Allah, tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.

Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganMu tetapi aku masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan kepadaku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat dari keslahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dariMu, ampunilah aku dan apa yang telah aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya Allah, ya Karim, ya Zaljalali wal ikram.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.. Segala puji hanya bagi Allah, tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam...
Amin... Amin... Amin...




DOA AWAL TAHUN HIJRAH
Maknanya :
Segala puji hanya bagi Allah, tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.

Ya Alllah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agung dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini aku memohon kepadaMu perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekalian kuncunya, tenteranya dan penolongnya. Aku juga memohon perlindungandari nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepadaMu.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad. Segala puji hanya bagi Allah, tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam...
Amin... Amin... Amin...

08 January, 2008

Selamat Tahun Baru Hijrah 1429

Seluruh Ahli Jawatankuasa PASTI Kawasan Tambun ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1429 kepada seluruh murid-murid PASTI di kawasan Tambun serta kedua ibu bapa mereka. Ucapan selamat juga untuk semua muallimah PASTI Kawasan Tambun yang telah banyak menabur jasa dan berkorban masa dan tenaga demi mencorakkan anak-anak PASTI agar mereka menjadi satu generasi yang mempunyai kekentalan jati diri dalam memperjuangkan Islam walau dimana jua mereka berada. Semoga tahun baru Hijri 1429 ini membuka lembaran baru dalam sejarah Malaysia dalam memenangkan pejuang-pejuang Islam demi menegakkan Islam sebagai agama berdaulat lagi mulia.

Kepada para ibubapa yang telah memberikan sepenuh kepercayaan kepada PASTI untuk mengasuh dan mendidik anak-anak tuan dan puan, kami ucapkan Jazakaullah hu khairan khathira. Didoakan agar semuanya mendapat kerahmatan dari Allah Yang Maha Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

07 January, 2008

3 Januari 2008 - Pendaftaran PASTI

3 Januari 2008 : TAMBUN - Seluruh unit-unit PASTI kawasan Tambun dibanjiri dengan murid-murid baru dan lama yang datang untuk memulakan sesi persekolahan 2008. Pendaftaran kemasukan yang dibuka sejak sebulan yang lalu, ibubapa kini mulai sibuk mendaftarkan anak masing-masing seawal jam 7.45 pagi. Adalah dianggarkan seramai 470 murid baru bakal mendaftar bagi tahun ini yang berumur diantara 4 hingga 6 tahun.

Dalam usaha untuk mengisi Tabung Bencana Alam PASTI Perak, satu tabung telah disediakan semasa sesi pendaftaran murid. Tabung yang baru dilancarkan itu adalah bertujuan untuk membantu unit-unit PASTI yang mengalami banjir serta lain-lain bencana alam di seluruh negeri Perak.

06 January, 2008

Takwim PASTI Kawasan Tambun 2008


PASTI kawasan Tambun telah menyeragamkan takwimnya untuk memudahkan ibu bapa serta mereka yang terlibat dengan PASTI terutamanya untuk panduan cuti persekolahan.


CUTI PERSEKOLAHAN PASTI KAWASAN TAMBUN 2008**
Tahun Baru 2008 - 1 Januari 2008
Persekolahan Bermula - 3 Januari 2008
Awal Muharam - 10 Januari 2008
Tahun Baru Cina- 7 - 8 Februari 2008
Cuti Pertengahan Penggal - 8 - 16 Mac 2008

Maulidur Rasul - 20 Mac 2008
Hari Keputeraan Sultan Perak - 19 April 2008
Hari Pekerja - 1 Mei 2008
Cuti Pertengahan Tahun - 24 Mei - 8 Jun 2008

Hari Keputeraan Agung - 7 Jun 2008
Israk Mikraj - 30 Julai 2008
Cuti Pertengahan Penggal 16 - 24 Ogos 2008

Nifsu Syaaban - 17 Ogos 2008
Hari Kebangsaan - 31 Ogos 2008
Awal Ramadhan - 1 September 2008
Nuzul Quran - 17 September 2008
Aidil Fitri 1429H - 1-2 Oktober 2008
Cuti Akhir Tahun - 15 November 2008 - 4 Januari 2009

** Tertakluk kepada perubahan

2008 - PASTI Boleh.!!!

Tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, tadika swasta turut memainkan peranan dalam menampung keperluan kepada pendidikan pra sekolah di negara ini. Ia juga menjadi saingan yang tidak kurang juga hebatnya kepada PASTI.

Bagi PASTI kawasan Tambun, ini bukanlah satu halangan untuk dijadikan pilihan pra sekolah, malah PASTI terus maju setapak lagi kehadapan. Ini terbukti apabila terdapat segelintir ibubapa dari tadika swasta yang terletak berhampiran dengan sebuah unit PASTI di kawasan Zon Manjoi telah menghantar anaknya ke PASTI apabila mendapati anaknya masih belum menunjukkan sebarang kemajuan diri dalam pelajaran. Ini berlaku pada tahun 2007. Kekesalan yang amat sangat diluahkan oleh ibubapa yang terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi untuk membayar yuran bulanan pada tadika swasta tersebut tapi hasilnya amat kurang memuaskan. Anak-anak mereka masih tidak mengenal huruf asas, tidak tahu membaca malah hanya diajar nyanyian sahaja turut menjadi igauan ibu bapa.

Setelah beralih angin ke PASTI, perubahan yang ketara dapat dilihat malah ibu bapa tersebut sudah mulai tersenyum lebar dan berterima kasih kepada guru-guru PASTI yang cukup terlatih dalam memberikan pendidikan pra sekolah. Syabas buat PASTI dan guru-guru PASTI Kawasan Tambun semoga rekod pencapaian terbaik ini dapat diteruskan untuk tahun-tahun berikutnya.

05 January, 2008

PASTI TAMBUN - Pendaftaran 2008 dibuka

1 Januari 2008 : TAMBUN - Seluruh unit PASTI di kawasan Tambun kini telah bersedia untuk menerima kemasukan murid-murid baru untuk sesi 2008. Baner-baner mengiklankan pendaftaran murid-murid baru PASTI bagi sesi 2008 telah dipasang samada di unit masing-masing mahupun di kawasan yang strategik. Antara persiapan awal yang dilakukan oleh AJK di setiap unit ialah membersih dan menceriakan bangunan serta sekitar unit PASTI. Aspek keselamatan murid-muird turut diberi perhatian yang sewajarnya.

Pendaftaran PASTI peringkat kawasan Tambun akan bermula pada 3 Januari 2008, hari Khamis iaitu serentak dengan pembukaan semula sesi persekolahan perdana. Usaha-usaha untuk melicinkan proses pendaftaran telah dilakukan sebaik mungkin memandangkan ibu bapa murid turut sibuk dengan persekolahan anak-anak yang lain pada hari tersebut. Adalah diharapkan sesi pendaftaran murid-murid baru PASTI Kawasan Tambun ini dapat berjalan sebaik mungkin tanpa ada sebarang permasalahan besar berlaku.

UNIT-UNIT PASTI DI KAWASAN TAMBUN

ZON MANJOI
PASTI Amal Islami
245, Jalan Menteri
Kg. Manjoi
30020 Ipoh, Perak.
Tel : 017 - 572 2521 (Abdul Manaf)

PASTI Nurul Iman
67, Jalan Madrasah
Kg. Tengku Hussein Baru
30020 Ipoh, Perak.
Tel : 016 - 597 1722 (Azmi Shaari)

PASTI Al-Harakiah
1485, Jalan Bangau
Kg. Dato' Ahmad Said Tambahan II
30020 Ipoh, Perak.
Tel : 012 - 506 5775 (Halmi Ibrahim)

PASTI Nurul Islam
140, Jalan 4
Taman Meru 2B, Taman Meru
30020 Ipoh, Perak.
Tel : 013 - 507 7149
Tel : 013 - 507 7149 (Salleh Saad)


PASTI ZON CHEMOR
PASTI Al-Tahfim
73, Laluan Klebang Jaya 9
Taman Klebang Jaya
31200 Chemor
Tel : 019 - 552 5095 (Hj. Ghazali)

PASTI At-Taqwa
2, Jalan Putra 1A
Taman Klebang Putra
31200 Chemor, Perak
Tel : 019 - 552 5095 (Hj. Ghazali)

PASTI Al-Aisar
115, Laluan Klebang Restu 23
Medan Klebang Restu
31200 Chemor, Perak.
Tel : 019 - 552 5095 (Hj. Ghazali)

PASTI An-Nuhlan
Kg. Chik zainal
31200 Chemor, Perak
Tel : 019 - 552 5095 (Hj. Ghazali)


PASTI ZON TG. RAMBUTAN
PASTI Al-Muhajirin
56 & 58 Persiaran Hulu Bercham 7
Bandar Baru Putra
31400 Ipoh, Perak.
Tel : 013 - 521 7146 (Janahuddin)

PASTI Al-Muttaqin
1, Persiaran Desa Jaya
Taman Desa Jaya
31250 Tg. Rambutan, Perak.
Tel : 013 - 521 7146 (Janahuddin)

PASTI Al-Ansar
64, Tingkat Perpaduan 24
Taman Perpaduan
31150 Ulu Kinta, Perak.
Tel : 016 - 565 8796 (Aidil)

PASTI Al-Ukhwah
10, Dataran Perpaduan Selatan 6
Taman Hiburan
31150 Ulu Kinta, Perak.
Tel : 016 - 565 8796 (Aidil)

PASTI - Pra sekolah Pilihan

Musim persekolahan kembali lagi. Ibubapa sibuk mencaturkan anak-anak yang berumur antara 4 hingga 6 tahun untuk disekolahkan. Pra sekolah yang mempunyai reputasi terbaik menjadi sasaran. Wang ringgit sanggup dihabiskan asalkan anak-anak mendapat pendidikan awal yang sempurna demi masa depan. Bagi yang beragama Islam, pra sekolah yang terasnya bertunjangkan syariat Islam sepatutnya menjadi pilihan utama bahkan itulah pilihan yang bijaksana untuk mencorakkan anak-anak yang masih mentah minda untuk di asuh sebaik mungkin.

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) mendepani dan mengungguli dalam memberikan pendidikan pra sekolah yang berteras dan berlandaskan syariat Islam. Teras pendidikan di PASTI adalah berasaskan aqidah Islam yang sebenar. Dasar yang mengajar anak-anak membaca dari Alif supaya mereka tahu menyebut perkataan Allah yang bermula dengan huruf Alif, mengajar abjad ABC agar mereka dapat memahami ABC kehidupan, mengajar membilang dari satu agar mereka tahu untung dan rugi, kebajikan dan kejahatan. Yang mencorakkan pemikiran dan peribadi mereka dengan ajaran Tauhid. Yang menaburkan benih-benih ilmu di dada mereka agar tumbuh subur lagi rendang yang dapat menaungi umat dan yang pentingnya mengajar dan melahirkan manusia yang sebenar-benar manusia yang kenal diri dan Tuhan yang menciptakannya. Itulah antara lain matlamat PASTI.

PASTI - Pilihan ibu bapa yang bijaksana.

04 January, 2008

Program Transisi

24 Disember 2007 : IPOH - Bagi mengatasi kelewatan penerimaan buku teks 5 tahun di seluruh negara, satu program yang dinamakan Program Transisi untuk semua guru-guru PASTI telah diadadakan di setiap negeri seluruh Malaysia. Negeri Perak telah mengadakan program tersebut di Dewan Mesyuarat, Pejabat Perhubungan PAS Negeri pada tarikh berkenaan. Setiap kawasan telah diarahkan untuk menghantar dua wakil guru terdiri dari Ketua dan Setiausaha MGP Kawasan untuk didedahkan dengan kurikulum khas yang digubal oleh PASTI PUSAT. Guru-guru ini kemudiannya akan memberi tunjuk ajar kepada guru-guru lain di peringkat kawasan masing-masing.

Program yang diadakan di setiap negeri dan diperturunkan ke peringkat kawasan ini bertujuan mengisi masa yang ada semasa sesi persekolahan untuk murid-murid 5 tahun sahaja sebelum mereka menerima buku teks yang dijangka diterima pada awal bulan Mac. Guru-guru telah diarahkan untuk mengajar murid-murid 5 tahun ini dengan kurikulum yang dibentuk khas oleh PASTI PUSAT sepanjang tempoh transisi dari bulan Januari hingga Mac.

Seramai 14 orang guru Tambun telah mengikuti kursus transisi ini pada 1 Januari 2008 yang telah disampaikan sendiri oleh Ketua MGP Perak Muallimah Asmah Tukiran. Modul khas dari PASTI PUSAT turut diedarkan kepada setiap guru sebagai panduan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran 2008.

Kursus Pra-Perguruan

20-24 November 2007 : AIR KUNING - Seramai tujuh orang guru dari kawasan Tambun dari seramai 34 orang guru baru dari seluruh negeri Perak telah mengikuti kurus Pra-perguruan PASTI yang dianjurkan oleh Unit Latihan Perguruan Dan Pengurusan Professioanal Negeri Perak.

Kursus yang berjalan selama 4 hari ini mendedahkan guru-guru baru dengan teknik-teknik mengajar yang betul serta pendedahan kepada silibus matapelajaran teras yang bakal diajar kepada anak-anak PASTI. Antara objektif kursus ini adalah untuk melahirkan guru-guru yang beristiqamah dalam pendidikan pra sekolah dan daei yang mampu merubah masyarakat. Guru-guru juga didedahkan dengan penguasaan tassawur Islam, sirah, harakah Islamiyah dan pembentukan sahsiah guru. Gerak kerja berjamaah, organisasi dan tanzim turut diberikan selain dari kaedah pengajaran dan P & P yang berkesan.

Sepanjang program berjalan, peserta kursus turut mendapat bantuan dan bimbingan dari petugas-petugas Majlis Guru PASTI (MGP) Perak yang diketuai oleh Muallimah Asmah binti Tukiran.

"Semangat yang ditunjukkan oleh para peserta kursus kali ini amat membanggakan. Penumpuan kepada kursus dan kerja sama yang ditunjukkan oleh para peserta menampakkan satu semangat juang yang sungguh padu untuk mendalami ilmu dan seterusnya meluahkan ilmu berasaskan syariat Islam tersebut kepada bakal anak-anak didik PASTI" kata Cikgu Arof selaku Pengarah program kursus guru ini.

Di akhir kursus Pra-perguruan, peserta telah dianugerahkan sjil penghargaan yang telah disampaikan oleh Cikgu Hashan Aladi selaku Pengarah PASTI Negeri Perak. Guru dari Tambun, Muallimah >>>>>>> telah dinobatkan sebagai Peserta Kursus Terbaik kali ini.