14 January, 2009
Kembali Ke Sekolah - Back To School
Bagi PASTI kawasan Tambun, sesi persekolahan 2009 kembali sebok seperti biasa dengan pendafatran baru serta lama murid-muridnya. Malahan sesi kali ini menampakkan peningkatan bilangan murid berbanding tahun 2008.
Terdapat dua perubahan premis unit PASTI kawasan Tambun. Unit Kg. Che Zainal yang dahulunya menggunakan markas PAS Kg. Che Zainal, kini telah berpindah ke premis yang baru beralamat di No. 33, Jalan Chemor Mesra 7, Taman Chemor Mesra, Chemor dan satu lagi unit Kg. Dato' Ahmad Said Tambahan 2 yang juga menggunakan markas PAS kini telah berpindah ke No. 79573, Jalan Undan 1, Kg. Dato' Ahmad Said Tambahan 2, Ipoh. Pengurusan unit PASTI di Taman Chemor Mesra kini diambil alih sepenuhnya oleh PASTI kawasan Tambun sebagai "pilot project" Sistem Pengurusan PASTI Berpusat. Pengurusnya ialah saudara Muhamad Hadhri bin Abdul Majid. Semoga PASTI kawasan Tambun dapat berkembang dengan baik sekali dimasa-masa yang akan datang. Insya Allah.
29 December, 2008
Sesi Persekolahan PASTI 2009
Salam Maal Hijrah
1 MUHARRAM 1430
27 December, 2008
Pendaftaran Murid Baru 2009

Tahniah
PASTI Kawasan Tambun mengucapkan sekalung tahniah buat Muallimah Rohana atas anugerah yang diterimanya. Semoga beliau akan terus memberi komitmen yang lebih jitu dan terus menyumbang kearah mendidik anak-anak PASTI agar dapat menjadi insan yang dapat menaungi umat Islam khasnya.
02 May, 2008
Mesyuarat Agung MGP Kawasan Tambun
Mesyuarat agung MGP kali ini telah dirasmikan oleh Puan Zuhairah Dato' Hj. Ghazali, selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tambun. Dalam ucapannya beliau menegaskan betapa perlunya guru-guru PASTI mempersiapkan diri dengan segala macam ILMU khususnya yang bersangkutan dengan pentarbiyahan kepada tunas-tunas Islam ini dengan ilmu-ilmu yang dapat dimanafaatkan sepenuhnya oleh murid-murid PASTI agar mereka menjadi lebih dominan dari segenap aspek kehidupan dari peringkat awal lagi.
31 January, 2008
Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring
Terkini :
Tambun - 2 Mac 2008. PASTI Kawasan Tambun telah mengadakan pertandingan bola sepak dan bola jaring mini khusus untuk pelajar-pelajar PASTI. Tujuan pertandingan diadakan adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat melalui sukan. Pertandingan yang diadakan di padang awam Taman Meru 1A telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari unit-unit PASTI di dalam Kawasan Tambun. Sebanyak 8 pasukan telah mengambil bahagian yang terdiri dari PASTI Nurul Iman (Kg. Tengku Hussein), PASTI Amal Islami ( Kg. Manjoi), PASTI Al- Harakiah (Kg. Dato' Ahmad Said 2), PASTI Nurul Islam (Taman Meru), PASTI Al- Muhajirin (Bandar Baru Putra), PASTI Al-Muttaqin (Tg. Rambutan), PASTI Al-Ansar ( Taman Perpaduan) dan PASTI Al-Ukhwah (Taman Hiburan).
Setiap Unit telah menghantar pasukan bola sepak dan bola jaring masing-masing yang telah dipilih dikalangan pelajar 5 tahun dan 6 tahun. Sepanjang pertandingan ini dijalankan, penyokong pasukan masing-masing telah dipertontonkan dengan perlawanan yang menghiburkan. Para pemain yang telah dilatih dengan tekun oleh guru-guru PASTI telah mempamerkan semangat juang yang tinggi. Kehadiran ibu bapa yang turut memberi sokongan dan menaikkan semangat pemain.
Perlawanan yang dijalankan secara liga ini telah dirasmikan oleh Al Fadzil Ustaz Zulkurnain bin Ibrahim, calon PAS yang bertanding di dalam Dewan Undangan Negeri Manjoi. Dalam ucapan perasmian itu beliau menegaskan akan peri pentingnya sukan. Ujar beliau, "Baginda Rasulullah S.A.W. amat menggalakkan umat baginda untuk bersukan seperti berkuda , memanah dan berenang kerana ini akan melahirkan generasi yang sihat dan kuat fizikal dan mental seperti yang dituntut oleh Islam". Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana telah menjaga tata susila pertandingan dengan mengsyaratkan semua pemain menutup aurat. Ini membuktikan bahawa tuntutan menutup aurat itu sebenarnya tidak menghalang individu untuk bersukan. Beliau sendiri menurutnya sering berjogging untuk sentiasa aktif dan sihat. Perasmian telah dilaksanakan dengan Al Fadzil Ustaz membuat sepakan bola ke arah pintu gol dengan disaksikan oleh para hadirin.
Pertandingan bola sepak mini telah dimenangi oleh PASTI Al- Muhajirin dan tempat kedua oleh PASTI Nurul Islam. Sementara itu bagi kategori bola jaring pula telah dimenangi oleh PASTI Nurul Iman dan tempat kedua oleh PASTI Al Muhajirin. Kesemua pemenangan pertandingan ini akan mewakili PASTI Kawasan Tambun ke pertandingan peringkat PASTI negeri Perak yang akan diadakan pada bulan Jun nanti di Seri Manjong.
19 January, 2008
PAS Tambun anjur Malam Jasa Dikenang, Kejayaan Dirai
IPOH, 19 Dis (Hrkh) - PAS Kawasan Tambun akan mengadakan jamuan malam malam sekaligus memberikan anugerah dan pengiktirafan kepada cawangan teraktif dalam satu majlis yang dinamakan Jasa Dikenang, Kejayaan Dirai pada 27 Disember ini.
Majlis tersebut akan diadakan di bandaraya Ipoh.
Menurut Setiausahanya, Ahmad Khair Faizal, majlis yang bakal diadakan nanti merupakan majlis kali kedua yang dianjurkan oleh PAS kawasan bagi mengiktiraf cawangan terbaik, keluarga PAS terbaik serta anugerah khas pendidikan.
"Seperti majlis yang pertama dahulu, PAS kawasan juga akan menyampaikan pengiktirafan kepada bekas-bekas calon PAS yang bertanding pada pilihanraya umum ke 11 yang lalu," ujar beliau.
Malam Jasa Dikenang, Kejayaan Dirai yang akan diadakan nanti turut memberikan pengiktirafan dan anugerah kepada Unit Amal Tambun serta guru PASTI terbaik bagi kawasan Tambun.
"Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang dijadualkan akan merasmikan program tersebut serta menyampaikan anugerah kepada mereka yang terpilih," katanya.
PAS Kawasan Tambun turut juga menjemput beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) khususnya yang berada di Ipoh serta wakil-wakil masjid-masjid dan surau-surau yang disenaraikan oleh PAS kawasan, katanya lagi.- mr
14 January, 2008
Buku Insya Allah PASTIku Boleh
IPOH - Kebolehan untuk membaca di usia awal adalah antara harapan ibu bapa terhadap anaknya. Demi mencapai objektif tersebut, PASTI Negeri Perak telah memperkenalkan satu buku khas yang dinamakan Buku Insya Allah PASTIku Boleh yang telah dikarang oleh Ahmad Jabar Kholidi selaku ketua Unit Kurikulum PASTI Perak.Buku Insya Allah PASTIku Boleh ini pada dasarnya digunakan untuk mengajar murid-murid PASTI yang berumur 5 tahun agar boleh membaca dan buku ia telah diperkenal dan diguna pakai seawal tahun 2006. Guru-guru PASTI seluruh negeri Perak telah diberi kursus khas bagaimana untuk menggunakan buku tersebut dengan cara yang betul agar memberi impak yang besar kepada murid-murid. Hasilnya hampir 75% murid-murid PASTI 5 tahun boleh membaca.
Buku ini bukan sahaja telah digunakan di negeri Perak, malah PASTI Kedah juga turut berminat dan menggunakannya pada tahun 2007. Kursus yang sama juga didedahkan kepada guru-guru PASTI Kedah yang terlibat.
Edaran Buku
14 Januari 2008 : TAMBUN - Buku teks serta lain-lain perbekalan akan diedarkan kepada murid-murid PASTI mulai hari ini kecuali buku teks untuk murid-murid 5 tahun yang dijangkakan akan mendapat buku teks edisi baru pada awal bulan Mac nanti. Kelewatan edaran buku teks 5 tahun telah dimaklumkan kepada semua ibu bapa semasa hari pendaftaran persekolahan PASTI.Dalam jangka masa menunggu buku teks 5 tahun ini, murid-murid akan diajar satu modul khas yang direka oleh PASTI Pusat yang dinamakan Program Transisi.
